Pages

Search This Blog

Friday, August 23, 2013

Kisah Peniaga Tauhu





NUSAJAYA 17 Mac – Keenakan tauhu memang diakui ramai sehingga menjadikannya makanan kegemaran pelbagai lapisan masyarakat sejak sekian lama.
Dibawa oleh peniaga China ke seluruh dunia, tauhu kekal menjadi makanan kegemaran termasuk di Asia Tenggara, khususnya Malaysia.

Menyedari potensi besar dalam perniagaan itu, usahawan bumiputera turut menceburi pembuatannya untuk memenuhi permintaan tauhu halal yang kian berkembang dan antara berani menyahut cabaran itu ialah Isza Food Enterprise di No. 54, Jalan Mini Stadium, Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah dekat sini.
Pemiliknya, Azeliza Alik, 36, memberitahu, syarikat itu ditubuhkan pada awal 2008 dengan modal RM50,000 untuk membuat tauhu, air soya dan tauhu fa (tauhu manis),” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Menurut anak kelahiran Kampung Ulu Pulai ini, pihaknya menceburi bidang itu kerana fardu kifayah tidak ramai syarikat bumiputera menghasilkan tauhu sedangkan permintaan daripada umat Islam yang tinggi.
Katanya, dengan modal itu, dia mendirikan bengkel dan membeli mesin memproses bernilai RM30,000 dan kini mempunyai enam pekerja untuk membantunya menguruskan perniagaan tersebut.

Kini syarikat itu mampu menghasilkan 7,000 keping tauhu setiap hari dan pengeluaran ditambah sehingga empat kali ganda pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha dan Tahun Baru Cina.
“Saya mendapat nasihat, tunjuk ajar serta pandangan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Pertubuhan Peladang negeri, RISDA dan Sirim,” kata ibu kepada empat cahayamata ini.

Azemizan Alik (kiri) meletakkan bahan mengeraskan tauhu yang dihasilkan supaya mudah dipotong.

Beliau memberitahu pada 2009 Pejabat Pertanian Daerah Pontian turut meluluskan geran untuk membeli mesin memproses bernilai RM20,000 kepadanya.
Sementara itu, adiknya, Azemizan, 29, yang juga penyelia di situ berkata, kini dengan kelengkapan mesin memproses yang lebih banyak, pengeluaran dapat ditingkatkan dua kali ganda daripada sebelumnya.
Malah, keupayaan syarikat itu menghasilkan produk berasaskan tauhu dan air soya turut menarik Pertubuhan Peladang Kawasan Pontian Timur meluluskan geran RM10,000 untuk membaik pulih dan membesarkan lagi bengkel memproses.

Menurutnya, produk mereka setakat ini dipasarkan di Gelang Patah, Nusajaya, Pekan Nanas, Pontian, Skudai, Senai, Kulaijaya dan pasar tani di sekitar kawasan berkenaan.
Seorang pekerja, Mohamad Ibrahim, 18, pula memberitahu, proses pembuatan tauhu bermula dengan merendamkan kacang soya selama kira-kira lima jam.
“Selepas itu, kacang dipecah dan dikisar lebih kurang 15 minit, sebelum ditapis dan dipisahkan hampas daripada patinya,” katanya.
Mohamad Afiq Abd. Munir, 18, pula berkata, pati air soya itu kemudian dimasak dan dimasukkan ke dalam acuan untuk dibekukan.

“Jika semua proses ini dilakukan dengan sebaiknya, nescaya tauhu yang dihasilkan juga akan baik, lazat dan bermutu. Untuk mengeras atau membekukan tauhu, kita letakkan cuka atau saiko,” katanya.
Orang ramai yang ingin berurusan dengan Isza Food Enterprise boleh menghubungi talian 013-7570006.

Kisah Pengusaha Ramly Burger

Siapa tak pernah makan burger Ramly?!! Mesti semua pernahkan. Kali ini Nora nak share satu lagi kisah kejayaan usahawan Melayu yang tidak asing lagi sejak 20 tahun lalu - Ramly Mokni, pengasas dan pemilik Ramly Burger.


Ramly Mokni merupakan seorang tokoh usahawan Melayu yang telah mengecapi dan mencapai kejayaan dalam bidang keusahawanan dengan begitu cemerlang dan patut diteladani oleh usahawan-usahawan bumiputera yang lain.  Kejayaannya bukanlah dapat  dinikmati dalam sekelip mata, tetapi terpaksa mengharungi dengan pelbagai cabaran dan halangan.  Dengan berbekalkan keyakinan diri dan ketabahan serta kecekalan hatinya, beliau telah dapat mengembangkan perniagaannya dari gerai menjual burger sehingga membuka kilang untuk mengeluarkan daging burger dari 300 keping sehari kepada 30 tan daging sehari selepas 20 tahun dengan jualan tahunan kini mencatat RM100 juta.

Daripada pemerhatian beliau semasa bekerja sebagai pemotong daging di sebuah pasar raya di ibu kota pada awal 1970an di mana kebanyakan makanan sejuk beku yang tidak pasti halal haramnya, telah mencetuskan idea beliau untuk menghasilkan daging burger dan sosej yang ditanggung halal untuk dimakan oleh umat Islam di negara ini.  Sifat beliau ini jelas menunjukkan beliau adalah seorang yang bijak merebut peluang dan berdaya kreatif dan inovatif serta berpandangan jauh.  Selain itu, beliau tidak pernah putus asa walaupun usahanya pernah diperlekehkan oleh masyarakat dan juga pihak bank yang telah menolak permohonan pinjamannya. 

Ramly mengembangkan perniagaannya dengan menghasilkan produk-produk lain termasuk nuggets, fritters termasuklah jejari dan bebola daging dan ayam. Jenama Ramly Burger bukan sahaja terkenal di Malaysia malah di Singapore juga.

Ramly juga telah dinobatkan sebagai Usahawan Melayu Cemerlang pada tahun 2006. Beliau telah membuktikan bahawa sesiapa sahaja boleh berjaya walaupun dirinya tiada ijazah atau dari golongan keluarga ahli perniagaan. Bagi beliau kemahuan, tekad dan komitmen yang jitu telah membawanya ke gerbang kejayaan.

"If you envy successful people, you create a negative force field of attraction that repels you from ever doing the things that you need to do to be successful. If you admire successful people, you create a positive force field of attraction that draws you toward becoming more and more like the kinds of people that you want to be like."-Brian Tracy

Kisah Pengusaha Ikan Kelisa

HARGA ikan kelisa semakin mahal jika ikan itu semakin membesar.


SEBAGAI seorang saintis yang mengkaji kehidupan flora dan fauna menjadi titik tolak kepada Mohd. Zalalnudin Latipi, 31, membuka sebuah kedai menjual spesies ikan terancam kelisa atau juga dikenali sebagai arowana.
Demi minatnya yang berputik sejak kecil Mohd. Zalalnudin nekad meninggalkan jawatannya sebagai seorang saintis. Minatnya kian bercambah apabila beliau berjaya menghabiskan pengajiannya dalam bidang Sosiologi Pemuliharaan di Universiti Malaysia Sabah.
Ikan kelisa kepada Mohd. Zalalnudin bukan sekadar ikan hiasan malah kepada mereka yang tahu menilainya, ia boleh menjadi sumber pendapatan.
Harganya mampu mencecah ribuan ribu ringgit selain ia digemari oleh kaum Cina di negara ini yang dipercayai membawa tuah kepada pemiliknya.
Namun Mohd. Zalalnudin tidak menyangka hobinya yang suka memelihara ikan itu mampu memberikannya sumber pendapatan tetap kepadanya.
"Dulu saya hanya bela ikan ini di rumah dan saya ada tujuh akuarium di rumah untuk mengisi ikan-ikan ini.
"Namun pada tahun 2005 saya mengambil keputusan untuk berhenti sebagai seorang saintis kerana mahu melibatkan diri secara serius dalam perniagaan menjual ikan kelisa," katanya.
Mohd. Zalalnudin tidak menyangka, kedai yang baru dibukanya itu mendapat sambutan menggalakkan daripada penduduk setempat malah ikan kelisa juga mendapat permintaan daripada orang Melayu.
"Selain orang Cina, orang Melayu juga menunjukkan minat terhadap ikan ini dan sanggup membelinya walaupun pada harga yang mahal.
"Mereka yang datang ke kedai ini sanggup menghabiskan masa berjam-jam semata-mata mahu melihat kecantikan dan kelicikan ikan kelisa," katanya.
Menyentuh penjagaan ikan kelisa, beliau memberitahu, tidak susah untuk membelanya tetapi perlu memastikan air yang digunakan dicampurkan dengan ubat antiklorin.
"Antiklorin perlu dicampurkan mengikut sukatan yang ditetapkan selain memberi makanan kepada ikan mengikut waktu.
MOHD. ZALALNUDIN menunjukkan buku berkaitan ikan kelisa kepada pelanggan di kedainya, Star Arowana, di Jalan Seberang Perak, Alor Setar, Kedah.


"Ikan ini kebiasaannya makan sejenis ulat yang banyak dijual di pasaran. Lipas dan cengkerik juga boleh diberi tapi lebih baik beli sahaja di pasaran kerana ditakuti serangga ini membawa racun dan mati jika memakannya," katanya.
Jelasnya, bagi memenuhi permintaan ikan kelisa di kedainya itu, beliau telah membeli dua buah kolam ikan kelisa di Bukit Merah, Perak.
"Kebanyakan ikan-ikan yang ada di kedai di bawa dari sana dan kita akan pilih ikan-ikan terbaik sebelum dipamerkan di kedai bagi menarik minat orang ramai," katanya.
Di kedainya terdapat lebih 200 ekor ikan kelisa pelbagai variasi seperti Malaysia Gold Cross Back Golden Arowana, Malaysia Super Red Arowana, Indonesia Chili Red dan sebagainya.
Lebih istimewa, harga ikan kelisa semakin meningkat jika ikan itu kian membesar.
"Bagi saya ikan ini memang membawa tuah kepada pemiliknya.
"Ikan ini juga tidak memerlukan penjagaan yang rapi. Kepada mereka yang berminat untuk mengetahui cara-cara penjagaan ikan kelisa mereka boleh datang terus ke kedai saya," katanya.
Bagi mereka yang ingin melihat ikan-ikan yang dijual di kedai Mohd. Zalalnudin, kedainya itu terletak di Star Arowana World di Jalan Seberang Perak, Alor Setar.

kredit to kosmo

Kisah Peniaga Cendol

Kisah Usahawan Cendol Yang Berjaya

Inilah restoran cendol milik Mohd Reza. Foto: yunusbadawi.

Mohd. Reza berdiri bangga di hadapan restoran cendolnya. Foto: Kosmo!

Air gula yang pekat dan tidak terlalu manis adalah rahsia kelazatan cendol. Foto: Kosmo

Gula enau dikatakan mampu menambahkan kelazatan cendol. Foto: Kosmo!

I 

Berkesempatan berkunjung ke Restoran Wahab yang dibuka dari pukul 10 pagi hingga 1 pagi, penulis sempat mengorek resipi kelazatan cendol di situ. 
Mohd. Reza yang sudah tujuh tahun mengambil alih perniagaan daripada bapanya, Abdul Wahab Mohd. Ismail berkata, kepekatan gula melaka dan kesegaran santan menjadi kunci utama kesedapan cendol. 
"Rasa cendol ditentukan oleh air gula yang pekat dan lemak manis santan yang diperoleh daripada kelapa muda," katanya. 
Menarik tentang perniagaan cendolnya, Reza menjelaskan, ia dimulakan oleh bapanya kira-kira 25 tahun lalu. 
"Daripada beca kepada van, kini kami memiliki lot perniagaan sendiri di sini." 
"Ia memberi peluang kepada semua orang untuk menikmati cendol, bukan sahaja pada waktu siang, tetapi juga waktu malam," katanya. 
Biarpun menawarkan pelbagai jenis cendol antaranya cendol pulut, jagung manis, kacang merah, tapai, cincau, bandung, sagu, barli dan aiskrim, cendol asli Wahab masih menjadi kegemaran ramai. 
II 
Baru-baru ini pula, penulis berkunjung ke Behrang, yang terletak di sempadan Selangor dan Perak untuk melihat sendiri proses cendol dihasilkan.
Di situ, kami menemui seorang pengusaha gerai makanan selera utara, Ishak Ahmad, 45. 
Gerai Ishak terletak di Behrang Stesen, Tanjung Malim, Perak. Foto: Kosmo!
Dia yang berniaga di gerai makanan di Behrang Stesen, Tanjung Malim, Perak, sudah 14 tahun berniaga cendol. 
Bermula dari bawah pokok mangga, sekarang dia mempunyai satu lot kedai yang tidak jauh dari tapak lama. 
"Saya jual cendol yang dibuat sendiri di rumah. Dulu sebelum ada kuali dan mesin, saya hanya buat untuk dimakan sendiri. 
"Kalau ada orang tempah untuk majlis keramaian, jarang saya ambil sebab kerjanya berat. Takut saya tidak mampu penuhi permintaan pelanggan," ujarnya. 
Menggunakan sepenuhnya resipi milik arwah ibunya, Ishak memberitahu, proses menghasilkan cendol tidak sesukar mana. 
"Apa yang penting, sukatan perlu betul dan tepung dimasak sehingga matang. Jika tidak cendol tidak akan menjadi." 
"Kalau menjadi pun, ia tidak mampu bertahan lebih daripada dua hari," katanya yang sudah hampir tiga tahun menggunakan kaedah moden dalam menghasilkan mi cendol. 
Sebelum ini, Ishak dibantu isteri, Raziah Mat Ali, 45, serta anak-anaknya memasak cendol. 
"Membuat cendol sama seperti memasak dodol. Bahan adunan yang dicampur dan digaul sebati akan dimasak sehingga menjadi doh yang pekat dan berkilat. 
"Kalau guna cara lama, saya perlu mengacau kawah cendol selama lebih kurang sejam dengan api sederhana. 
"Kawah tidak boleh ditinggalkan dan adunan mesti sentiasa dikacau bagi mengelakkan kerak terhasil di bahagian bawah," jelasnya yang turut memberi kepercayaan kepada isteri dan anak-anaknya untuk memasak cendol sekiranya dia sibuk di gerai. 
Menggunakan tepung beras sebagai asas doh, Ishak turut memasukkan tepung jagung ke dalam periuk serba guna yang disumbangkan oleh Jabatan Pertanian Hulu Selangor kepadanya pada tahun 2009. 
"Tujuan tepung jagung digunakan ialah untuk mengilatkannya," kata anak kelahiran Sik, Kedah ini. 
Selepas itu, Ishak mencampurkan satu jag air perahan daun pandan yang telah dibiarkan semalaman. 
"Jangan gunakan air pandan yang baru diperah airnya untuk membuat cendol. Nanti baunya hilang ditelan kapur," beritahunya sambil memasukkan separuh bekas kapur masak ke dalam adunan sebagai fungsi pengentalan. 
Setelah semua bahan siap dimasukkan, Ishak menambah sedikit air dan mengadun tepung sehingga sebati menggunakan sarung tangan getah bagi memastikan tiada tepung yang berketul. 
Apabila dia sudah berpuas hati dengan kesebatian dan warna adunan, barulah Ishak memasak adunan selama sejam di dalam periuk yang sama. 
Bilah-bilah kipas yang ada di tengah-tengah periuk mula mengacau adunan sehingga ia mengental sedikit demi sedikit. 
"Memandangkan periuk ini boleh ditetapkan masanya, saya tidak perlu menunggunya seperti dulu. 
"Biasanya selepas setengah jam, baru saya tinjau untuk memastikan sama ada perlu ditambah air atau tidak. 
"Ibu saya pernah berpesan, jangan terus masukkan air yang banyak ke dalam adunan sebaliknya masukkan sedikit demi sedikit."
"Ini penting bagi mengelakkan cendol menjadi cair," katanya yang terkenal sebagai pembuat cendol di sekitar Hulu Selangor dan Tanjung Malim. 
Ditanya tentang ketahanan cendol yang dihasilkan, Ishak menjawab, ia boleh tahan selama empat hari sahaja. 
"Saya tidak gunakan bahan pengawet. Siap dimasak perlu terus dimakan. 
"Kalau disimpan di ruang sejuk dingin, ia boleh tahan empat hari tetapi jangan pula dimasukkan ke ruang sejuk beku, nanti cendol akan rasa seperti span apabila dikunyah," katanya yang turut membekalkan cendol mentah untuk pasaran sekitar Tanjung Malim. 
Selepas sejam, adunan yang sudah mengental segera dialihkan ke mesin acuan cendol. 
Dari atas, mesin tersebut akan menekan adunan nanti dan mengeluarkan rantaian mi cendol yang terus memasuki bekas berisi air di bawahnya. 
Cendol ditekan menggunakan mesin. Foto: Flickr
"Proses ini perlu dilakukan segera, jika tidak tepung akan mengeras," kata Ishak yang sebelum ini menggunakan periuk yang ditebuk dengan paku sebagai acuan. 
Siap mi cendol diproses, Ishak beralih pula ke periuk berisi air gula yang tersedia di sebelahnya. 
Air gula yang menggunakan gula pasir dan gula melaka itu turut dicampur sedikit dengan gula enau untuk menambahkan kesedapannya. 
"Air gula yang sedap adalah rahsia keenakan cendol. Saya lebih suka menyediakan air gula yang pekat dan tidak terlalu manis untuk pelanggan saya," katanya. - Kosmo!


III

Sumbangan RM1,000 daripada seorang ayah untuk dijadikan modal permulaan kira-kira 17 tahun lepas berjaya mengubah kehidupan pengusaha cendol Md. Abd Hadi Md. Zain, 40, atau lebih dikenali Mat Cendol. 
Md. Hadi Md. Zain, dibantu anaknya Mohd Fariezal (kanan) menghasilkan cendol. Foto: Kosmo!
Pengalaman selama tiga tahun bekerja di kilang membuat cendol ibu saudaranya sebelum itu, telah dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengubah kehidupannya sekeluarga. 
Pada awal pembabitan di Kampung Kedemit, Wakaf Bharu, Kelantan dia hanya menggunakan motosikal untuk membawa cendol ke pasar tetapi sekarang dia mampu memiliki sebuah van dan sebuah rumah konkrit yang dibina sembilan tahun lepas di atas tanah milik keluarga bernilai kira-kira RM80,000. 
"Semuanya itu merupakan hadiah kepada sebuah pengorbanan ibu bapa yang tidak ternilai harganya," katanya dengan nada pilu ketika memulakan cerita. 
Semuanya bermula apabila beliau menamatkan persekolahan setakat Tingkatan Tiga walaupun memperoleh keputusan A dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada tahun 1984. 
"Desakan rakan-rakan sebaya ketika itu untuk tidak melanjutkan pelajaran ke Tingkatan 4 di Sekolah Menengah Kebangsaan Wakaf Bharu betul-betul mempengaruhi," katanya lagi. 
Bermula dari situlah dia menempuhi kehidupan remajanya yang penuh dengan keseronokan dan tanpa hala tuju. 
"Masa tu, hendak suka semata-mata. Gi situ, gi sana, buah rambutan orang, hok kita. Ayah suruh mengaji sekolah supaya jadi orang, tapi kita tak endah," katanya mengimbas kenangan lama. 
Berbekalkan tulang empat kerat yang masih rapuh dia bersama rakan-rakan melakukan pelbagai kerja kampung bagi meneruskan kehidupan remaja walaupun pendapatan tidak seberapa. 
Ketika berusia 17 tahun dia mengambil keputusan untuk berkahwin dengan wanita pilihannya, Rokiah Mat Isa yang sebaya dengannya. 
Selepas berkahwin dia dan isteri menetap di Kuala Krai, dengan melakukan kerja-kerja kampung bagi menampung kehidupan sekeluarga. 
"Masa tu memang susah, kerja hanya seada-adanya saja, nak kerja lain sijil tidak ada, sekolah pun tok habis," katanya penuh dengan kekesalan. 
Bagi menyara kehidupannya sekeluarga dia merantau ke Singapura untuk bekerja sebagai buruh binaan selama hampir setahun. 
Walaupun pendapatan sebagai buruh binaan agak lumayan namun warna-warna kehidupan kampungnya seolah-olah telah sinonim dalam jiwanya. 
Sekembalinya ke kampung ketika berumur 19 tahun, dia bekerja di kilang cendol milik ibu saudaranya di Kampung Padang Tok La, Pasir Mas. Di sinilah bermulanya penglibatan beliau secara langsung dalam industri membuat cendol. 
Walaupun tidak memiliki segulung ijazah, dia bertekad untuk menempa nama setanding insan lain bagi menebus kesilapan masa lampaunya. 
"Setiap pekerjaan yang dilakukan bersungguh-sungguh pasti membuahkan hasil, itulah prinsip yang dipegang," kata ayah kepada empat orang anak itu. 
"Tuhan telah memakbulkan permintaan saya, kita tidak sunyi daripada membuat kesilapan, cuma akal sahaja yang mampu memperbetulkannya agar ia tidak berulang." 
Kini beliau mampu tersenyum daripada hasil titik peluh yang dicurahkan selama ini kerana cendolnya mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat setempat. 
Permintaan cendol Md. Abd Hadi meningkat sekali ganda pada bulan Ramadan.
Setiap hari dia menghasilkan kira-kira 30 gantang cendol untuk dibekalkan kepada peraih-peraih pada harga RM7 untuk satu gantang, malah permintaannya akan meningkat sekali ganda pada bulan Ramadhan. 
Kepahitan hidup yang dirasai terubat apabila melihat dua daripada empat anaknya berumur antara 8 hingga 22 tahun berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi. - Kosmo!

Kredit to http://khabarkini2.blogspot.com

Kisah Peniaga Kuih

Gambar Hiasan


KISAH BUDAK PENJUAL KUIH (Terharu punye kalau bace!)

Selepas seminggu beraya di kampung, saya pulang ke Kuala Lumpur. Memikirkan highway PLUS sibuk, saya menyusuri laluan lama. Pekan pertama yang saya lintas ialah Teluk Intan. Terasa mengantuk, saya singgah sebentar di sebuah restoran di pinggir pekan itu. Sebaik memesan makanan, seorang kanak-kanak lelaki berusia lebih kurang 12 tahun muncul dihadapan.

"Abang nak beli kuih?" katanya sambil tersenyum. Tangannya segera menyelak daun pisang yang menjadi penutup bakul kuih jajaanya.

“Tak apalah dik... Abang dah pesan makanan," jawap saya ringkas.

Dia berlalu. Sebaik pesanan tiba, saya terus menikmatinya. Lebih kurang 20 minit kemudian saya nampak kanak-kanak tadi menghampiri pelanggan lain, sepasang suami isteri agaknya. Mereka juga menolak, dia berlalu begitu saja.

"Abang dah makan, tak nak beli kuih saya?" katanya selamba semasa menghampiri meja saya.

"Abang baru lepas makan dik. Masih kenyang lagi ni," kata saya sambil menepuk-nepuk perut.

Dia beredar, tapi cuma setakat di kaki lima. Sampai di situ, di meletakkan bakulnya yang masih sarat. Setiap yang lalu ditanya, "Tak nak beli kuih saya bang, pak cik, kakak atau makcik?"

Molek budi bahasanya! Mamak restoran itu pun tidak menghalang dia keluar masuk ke premisnya bertemu pelanggan. Sambil memerhati, terselit rasa kagum dan kasihan di hati saya melihatkan betapa gigihnya dia berusaha. Tidak nampak langsung tanda-tanda putus asa dalam dirinya, sekalipun orang yang ditemuinya enggan membeli kuihnya.

Selepas membayar harga makanan dan minuman, saya terus beredar ke kereta. Kanak-kanak itu saya lihat berada agak jauh di deretan kedai yang sama. Saya buka pintu, membetulkan duduk dan menutup pintu. Belum sempat saya menghidupkan enjin, kanak-kanak tadi berdiri di tepi kereta. Dia menghadiahkan sebuah senyuman. Saya turunkan cermin, membalas senyumannya.

"Abang dah kenyang, tapi mungkin abang perlukan kuih saya untuk adik-adik abang, ibu atau ayah abang." katanya petah sekali sambil tersenyum. Sekali lagi dia mempamerkan kuih dalam bakul dengan menyelak daun pisang penutupnya.

Saya tenung wajahnya, bersih dan bersahaja. Terpantul perasaan kesian di hati. Lantas saya buka dompet, dan menghulurkan sekeping not merah RM10. Saya hulurkan padanya.

"Ambil ni dik! Abang sedekah. Tak payah abang beli kuih tu," Saya berkata ikhlas kerana perasaan kasihan meningkat mendadak. Kanak-kanak itu menerima wang tersebut, lantas mengucapkan terima kasih terus berjalan kembali ke kaki lima deretan kedai. Saya gembira dapat membantunya. Setelah enjin kereta saya hidupkan, saya mengundur. Alangkah terperanjatnya saya melihat kanak-kanak itu menghulurkan pula RM10 pemberian saya itu kepada seorang pengemis yang buta kedua-dua matanya.

Saya terkejut, lantas memberhentikan semula kereta, memanggil kanak-kanak itu.

"Kenapa bang nak beli kuih ke?" tanyanya.

"Kenapa adik berikan duit abang tadi pada pengemis tu? Duit tu abang bagi adik!" Kata saya tanpa menjawap pertanyaannya.

"Bang saya tak boleh ambil duit tu. Mak marah kalau dia dapat tahu saya mengemis. Kata mak kita mesti bekerja mencari nafkah kerana Allah berikan tulang empat kerat pada saya. Kalau dia tahu saya bawa duit sebanyak itu pulang, sedangkan jualan masih banyak, mak pasti marah. Kata mak, mengemis kerja orang yang tak berupaya, saya masih kuat bang!" katanya begitu lancar.

Saya sebak, sekaligus kagum dengan pegangan hidup kanak-kanak itu. Tanpa banyak soal saya terus bertanya berapa semua harga kuih dalam bakul itu.

"Abang nak beli semua ke?" Dia betanya dan saya cuma mengangguk. Lidah saya kelu nak berkata.

"RM25 saja bang."

Selepas dia memasukkan satu persatu kuihnya kedalam plastik, saya hulurkan RM25. Dia mengucapkan terima kasih dan terus berlalu.

Saya perhatikan dia sehingga hilang daripada pandangan. Dalam perjalanan ke Kuala Lumpur, baru saya terfikir untuk bertanya statusnya. Anak yatimkah? Siapakah wanita berhati mulia yang melahirknya? Terus terang saya katakan, saya beli kuihnya bukan lagi atas dasar kasihan, tetapi kerana rasa kagum dengan sikapnya yang dapat menjadikan kerjayanya satu penghormatan.

Sesungguhnya saya kagum dengan sikap kanak-kanak itu. Dia menyedarkan saya, siapa kita sebenarnya!

"Maka yang mana satu di antara nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan? " ar-rahman

Kisah Pengusaha Madu Lebah



SHAIFUL HIZAM menunjukkan koloni lebah yang diusahakan di ladang Carambola Bee Farm yang terdapat di beberapa tempat seperti Semenyih, Selangor dan Parit Sikom, Simpang Renggam, Johor.

TIGA tahun lalu, Shaiful Hizam Harman pernah berkobar-kobar untuk menternak burung walit. Namun, hasratnya terbantut apabila dia kekurangan maklumat mengenai penternakan haiwan itu.
Ternyata ada hikmah di sebalik semua itu, kerana selepas puas berfikir dia kemudian memilih untuk menternak lebah madu.

“Sekitar 2007, memang saya terfikir untuk masuk dalam industri pemakanan kerana saya sendiri merupakan pengusaha gimnasium yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur. Saya lihat masyarakat moden hari ini lebih menitik beratkan pemakanan mereka.
“Bagaimanapun ia terpaksa dilupakan kerana selain kekurangan maklumat, saya mendapati permintaan untuk sarang burung itu pun lebih menjurus kepada pasaran China,” katanya.

Permintaan tinggi namun begitu, tidak lama selepas itu dia teringat tentang khasiat madu seperti yang pernah dibacanya dalam hadis Rasulullah.
“Saya mula membuat kajian tentang tawaran dan permintaan madu di seluruh dunia. Saya baca laporan yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertanian Australia, Amerika Syarikat dan Eropah,” katanya.
Kebanyakannya mendedahkan permintaan madu dari luar negara sangat tinggi sedangkan pengeluaran bahan itu sangat kurang.

“Seperkara lagi, modal yang diperlukan untuk memulakan industri lebah madu masih kecil iaitu kira-kira RM12,000 berbanding RM250,000 untuk industri sarang burung walit,” katanya.
Selama setahun, Shaiful mula melihat laman-laman web dan belajar mengenai lebah menerusi video YouTube selain melawat beberapa ladang lebah madu di sekitar Selangor.
Hari ini, usahawan muda itu mampu meraih pendapatan kira-kira RM8,000 sebulan melalui lima kotak atau koloni lebah yang dihuni oleh 70,000 ekor lebah bagi setiap kotak.

Lebah bersifat sensitif “Tidak susah untuk memulakan industri lebah madu. Ia boleh dibuat di belakang rumah atau ditumpang di kebun buah-buahan. Risikonya kurang kerana jika satu koloni lebah diserang penyakit seperti bakteria atau fungus, ia tidak berjangkit kepada koloni yang lain,” katanya.
Pada pendapat beliau, lebah bersifat sensitif, amat mengenang jasa dan setia kepada tuan yang memeliharanya.
“Saya pernah berhadapan dengan kesulitan kewangan pada awal tahun 2009. Apa yang saya buat tidak menjadi. Saya duduk di hadapan kotak-kotak lebah saya dan menceritakan masalah saya. Saya meminta lebah-lebah ini keluar untuk mendatangkan madu dengan jumlah yang banyak,” katanya.
Beliau hampir menitiskan air mata apabila doanya dimakbulkan Allah, dengan lebah-lebahnya mengeluarkan berkilogram madu.

“Saya hanya berada di kawasan ternakan lebah dua atau tiga kali seminggu. Tetapi mungkin lebih kerap jika perlu menguruskan pemindahan lebah ke tempat baru. Sekali pergi saya akan berada untuk tempoh sejam atau dua bagi menguruskan semua koloni lebah,” katanya.

Antara yang terbaik
Beliau berharap orang ramai agar membuka mata terhadap industri yang amat berpotensi itu.
Di Malaysia, madu yang terhasil menerusi kerajinan lebah mencari manisan daripada pokok gelam, akasia (sejenis pokok kayu balak), nanas dan belimbing, mempunyai bau yang lebih kuat.
Ia menyamai madu dari New Zealand yang terhasil daripada lebah-lebah yang terbang mencari manisan dari pokok manuka.
Pada masa ini, Shaiful hanya menjual madu yang dibotolkan dengan jenama Madu Tree secara dalam talian pada harga RM44 bagi 500 gram berbanding RM98 (500 gram) madu yang diimport.
Shaiful menawarkan madu asli dan asas ternakan lebah yang boleh diperoleh melalui laman web http://carambolabeefarm.blogspot.com. – Bernama

Kisah Peniaga Ikan

Gambar Hiasan

Alkisah, ada seseorang yang membawa keranjang penuh ikan segar untuk dijual di pasar. Ia menggelar dagangannya dan memasang papan “JUAL IKAN SEGAR”. Seorang pengunjung kemudian mendekatinya dan bertanya;

“Kenapa kamu tulis “SEGAR”? Bukankah setiap orang di pasar ini tahu jika ikan yang kamu jual masih segar?”.
“Benar juga…”, Pikir si penjual ikan. Maka keesokan harinya saat kembali berjualan ia memasang papan “JUAL IKAN” mengikuti anjuran pengunjung yang kemarin. Tidak lama setelah memasang papan baru tersebut, datanglah pengunjung lain.

Sambil melihat ikan-ikan yang dijual, ia bertanya “Kenapa kamu tulis “IKAN” di papan ini? Bukankah semua orang tahu kamu jualan ikan? Bahkan tidak usah membaca papan ini orang juga tahu kamu jualan ikan, bukan jualan sayur atau buah-buahan?”.
Mendengar hal itu, penjual ikan kembali manggut-manggut mengiyakan pertanyaan pengunjung tersebut.

Keesokan harinya, penjual ikan tersebut kembali berjualan dan memasang papan “JUAL”. Sesaat kemudian datanglah seorang pengunjung. Melihat papan yang dipasang, ia bertanya dengan heran;
“Kenapa kamu tulis “JUAL”? Bukankah kamu memang menjual ikan ini? Tidak memamerkannya, atau menjemurnya?”

Penjual ikan itu kembali memikirkan ucapan pembeli tadi. Setelah itu, ia langsung mencabut papan tersebut dan kembali berjualan seperti biasa.
Namun apa yang terjadi? Setelah ia mencabut papan tersebut tidak ada satupun pembeli yang datang. Ikan-ikan jualannya tidak ada yang membeli!
************
Apa renungan yang bisa diambil dari kisah di atas? Memang susah jika kita ingin memuaskan semua orang dengan begitu saja mengiyakan keinginannya. Yang terjadi justru kita akan dirugikan dengan sikap seperti itu. Komitmen, pendirian, jati diri dalam hidup seharusnya tetap menjadi pegangan selama itu benar. Kita boleh mendengarkan pendapat orang lain, namun cerna dan pahamilah pendapat mereka apakah sesuai dengan kata hati. Jika tidak, maka katakan “Tidak!”. [F]