NUSAJAYA 17 Mac – Keenakan tauhu memang
diakui ramai sehingga menjadikannya makanan kegemaran pelbagai lapisan
masyarakat sejak sekian lama.
Dibawa oleh peniaga China ke seluruh dunia, tauhu kekal menjadi makanan kegemaran termasuk di Asia Tenggara, khususnya Malaysia.
Menyedari potensi besar dalam perniagaan
itu, usahawan bumiputera turut menceburi pembuatannya untuk memenuhi
permintaan tauhu halal yang kian berkembang dan antara berani menyahut
cabaran itu ialah Isza Food Enterprise di No. 54, Jalan Mini Stadium,
Kampung Ulu Pulai, Gelang Patah dekat sini.
Pemiliknya, Azeliza Alik, 36,
memberitahu, syarikat itu ditubuhkan pada awal 2008 dengan modal
RM50,000 untuk membuat tauhu, air soya dan tauhu fa (tauhu manis),”
katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut anak kelahiran Kampung Ulu Pulai
ini, pihaknya menceburi bidang itu kerana fardu kifayah tidak ramai
syarikat bumiputera menghasilkan tauhu sedangkan permintaan daripada
umat Islam yang tinggi.
Katanya, dengan modal itu, dia
mendirikan bengkel dan membeli mesin memproses bernilai RM30,000 dan
kini mempunyai enam pekerja untuk membantunya menguruskan perniagaan
tersebut.
Kini syarikat itu mampu menghasilkan
7,000 keping tauhu setiap hari dan pengeluaran ditambah sehingga empat
kali ganda pada musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Aidiladha
dan Tahun Baru Cina.
“Saya mendapat nasihat, tunjuk ajar serta pandangan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Pertubuhan Peladang negeri, RISDA dan Sirim,” kata ibu kepada empat cahayamata ini.
“Saya mendapat nasihat, tunjuk ajar serta pandangan daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Pertanian, MARDI, Pertubuhan Peladang negeri, RISDA dan Sirim,” kata ibu kepada empat cahayamata ini.
Azemizan Alik (kiri) meletakkan bahan mengeraskan tauhu yang dihasilkan supaya mudah dipotong.
Beliau memberitahu pada 2009 Pejabat
Pertanian Daerah Pontian turut meluluskan geran untuk membeli mesin
memproses bernilai RM20,000 kepadanya.
Sementara itu, adiknya, Azemizan, 29,
yang juga penyelia di situ berkata, kini dengan kelengkapan mesin
memproses yang lebih banyak, pengeluaran dapat ditingkatkan dua kali
ganda daripada sebelumnya.
Malah, keupayaan syarikat itu
menghasilkan produk berasaskan tauhu dan air soya turut menarik
Pertubuhan Peladang Kawasan Pontian Timur meluluskan geran RM10,000
untuk membaik pulih dan membesarkan lagi bengkel memproses.
Menurutnya, produk mereka setakat ini
dipasarkan di Gelang Patah, Nusajaya, Pekan Nanas, Pontian, Skudai,
Senai, Kulaijaya dan pasar tani di sekitar kawasan berkenaan.
Seorang pekerja, Mohamad Ibrahim, 18,
pula memberitahu, proses pembuatan tauhu bermula dengan merendamkan
kacang soya selama kira-kira lima jam.
“Selepas itu, kacang dipecah dan dikisar
lebih kurang 15 minit, sebelum ditapis dan dipisahkan hampas daripada
patinya,” katanya.
Mohamad Afiq Abd. Munir, 18, pula berkata, pati air soya itu kemudian dimasak dan dimasukkan ke dalam acuan untuk dibekukan.
“Jika semua proses ini dilakukan dengan
sebaiknya, nescaya tauhu yang dihasilkan juga akan baik, lazat dan
bermutu. Untuk mengeras atau membekukan tauhu, kita letakkan cuka atau
saiko,” katanya.
Orang ramai yang ingin berurusan dengan Isza Food Enterprise boleh menghubungi talian 013-7570006.
0 comments:
Post a Comment